Tuesday, 15 September 2015

Lebah Madu

#cabaranKBJ
#lebah
#cabaran5/20

"Dan Tuhanmu mewahyukan kepada lebah: Hendak engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok, dan dari apa yang mereka dirikan (68). Kemudian, makanlah dari segala jenis buah-buahan, serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu. Akan keluarlah dari badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia. Sesungguhnya yang demikian itu, ada tanda kekuasaan-Nya bagi orang yang berfikir (69)". (Surah An-Nahl 16:68-69)

"Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu musuh yang terang nyata bagi kamu". (Surah Al-Baqarah 2:169)

Petikan surah-surah di atas dapat kita samakan orang mukmin dengan sang lebah kerana Allah tidak menjadikan tiap-tiap sesuatu itu sia-sia.

Sebelum makcik teruskan entry ini, mari kita lihat perbandingan lebah madu dengan langau dan orang mukmin dengan syaitan.

www.ihhi.my

Lebah dikurniakan keistimewaan dengan mengeluarkan madu
yang berkhasiat untuk kebaikan manusia. Manakala langau pula kerap kita lihat di tempat-tempat yang busuk dan kotor serta mengeluarkan telur. Sekiranya manusia termakan telur tersebut, ia akan memudarat kesihatan manusia.

Sebagai orang mukmin, kita perlu memainkan peranan yang positif agar dapat memberi manfaat kepada orang lain. Malah orang mukmin menjadikan setiap tugas yang dilaksanakan dapat memdatangkan kebaikan kepada orang di sekeliling. Syaitan pula berusaha dengan cara memujuk manusia ke arah kekufuran dengan melalaikan manusia yang sentiasa mengejar hal duniawi.

Rasulullah s.a.w bersabda, "Perumpamaan orang beriman itu bagaikan lebah. Ia makan yang bersih, mengeluarkan sesuatu yang bersih, hinggap di tempat yang bersih dan tidak merosakkan atau mematahkan (yang dihinggapinya)". (Ahmad, Al-Hakim danAl-Bazaar).

Jika kita perhatikan lebah, ia akan mendatangi buah-buahan yang ranum, menghisap bunga-bungaan di tempat bersih yang mengandungi nektar (manisan madu). Kemudian, cukup masa ia akan mengeluarkan khasiat (madu) melalui organnya itu.

Begitu juga dengan orang mukmin, mendapatkan rezeki yang halal dan kemudian berusaha menjadi orang yang produktif dengan menyebarkan kebaikan kepada orang lain serta mendatangkan suasana yang harmoni kepada masyarakat.

Lebah pula tidak pernah melakukan kerosakkan pada setiap tempat yang dihinggapinya malah sentiasa berhati-hati dengan keadaan di sekelilingnya. Oleh itu, manusia juga perlu mengubah kezaliman terhadap diri sendiri dengan cara memperbaiki akhlak dan ibadah agar tidak berlaku kerosakan melalui tangan manusia itu sendiri.

Akhir kata dari makcik, marilah sama-sama kita berusaha secara istiqomah dalam memperbaiki diri dan mudah-mudahan kita lebih bersedia dalam membekalkan diri ke alam lain selepas dunia ini.

Jom baca Subhanallah Walhamdulillah Walailahaillallah Allahuakbar Walahau la wala Quwataillabillah..

Google+ Followers